Wednesday, 29 May 2013

Bot karam: Operasi kesan 23 mangsa hilang disambung pagi ini


Bot karam: Operasi kesan 23 mangsa hilang disambung pagi ini

29 Mei 2013

BELAGA - Gerakan mencari dan menyelamat mangsa bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat sini, diteruskan pagi ini bagi mengesan 23 mangsa yang masih hilang.
   
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sabau berkata operasi yang bermula pukul 7 pagi tadi itu dilakukan oleh polis dengan kerjasama pasukan bomba dan penyelamat.
   
"Kita tumpukan di kawasan kemalangan iaitu di Jeram Tukok/Jeram Bungan. Pagi ini seramai 19 anggota polis dari Belaga, Kapit, Bintulu termasuk polis marin dan lima anggota bomba terlibat dalam operasi," katanya ketika dihubungi Bernama.
   
Bakar berkata anggota tambahan dari Unit Latihan Polis Kuching dijangka tiba tengah hari ini bagi membantu operasi itu.
   
Dalam kejadian pukul 8.30 pagi semalam, bot ekspres yang dipercayai membawa penumpang berlebihan karam di Jeram Tukok/Jeram Bungan ketika dalam perjalanan dari arah Bakun ke Terminal Bot Ekspres Sibu.
   
Ketika operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 9.30 malam tadi, polis mengesahkan 181 penumpang terselamat dan 23 masih hilang.
   
Menurut polis, bot tersebut hanya berkapasiti 67 penumpang.- Bernama

Bot Ekspres Karam Di Sarawak

Bot Ekspres Karam di Belaga



 

KUCHING 18 May 2013,Seramai 23 orang hilang manakala 181 lagi selamat apabila bot ekspres yang mereka naiki karam di Sungai Rajang berhampiran Belaga di pedalaman Sarawak hari ini.
    
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata kesemua 181 mangsa yang selamat itu kini ditempatkan di dua rumah panjang tidak jauh daripada kawasan kejadian, iaitu kira-kira 40 minit perjalanan dengan bot ekspres dari pekan Belaga.
    
"Kami masih meneruskan usaha mencari dan menyelamat mereka yang hilang," katanya ketika dihubungi dari sini.
    
Beliau berkata kejadian dilapor antara pukul 8.30 dan 9 pagi apabila bot ekspres 'Bakun Mas' itu mengalami masalah enjin selepas melangar serpihan kayu di sungai itu.
    
Ketika kejadian bot dengan kapasiti 67 penumpang itu sarat dengan penumpang yang ingin pulang untuk sambutan Hari Gawai, kebanyakannya pekerja pembalakan dan ladang kelapa sawit di kawasan itu.
    
Anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Kapit Betek Lahang ketika dihubungi berkata polis dan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan sedang mengumpul maklumat mengenai jumlah sebenar mangsa terlibat.
    
Beliau berkata ketika kejadian bot ekpress yang penuh dengan penumpang itu dalam perjalanan ke Kapit dan Sibu selepas kira-kira 40 minit berlepas dari bandar Belaga.
    
Polis dan pasukan perubatan kini berada di tempat kejadian dan sehingga petang ini usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan, katanya.
    
Pegawai Daerah Belaga Abdul Halim Abdullah ketika dihubungi berkata beliau dan anggota Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong dan anggota Dewan Undangan Negeri Belaga Liwan Lagang dalam perjalanan ke tempat kejadian. - Bernama